Kenyataan Akhbar Badan Bertindak Rakyat Prihatin Kuala Selangor.
Tindakan Kerajaan Negeri melalui EXCO Kerajaan Tempatannya melantik Ahli-ahli Majlis Daerah dari Luar Kawasan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat tempatan khususnya pembayar cukai dalam Majlis Daerah Kuala Selangor.
Perlantikan yang di buat oleh Kerajaan Selangor nyata bercanggah dengan prinsip-prinsip berkerajaan yang biasa diamalkan oleh sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan.
Dengan nama Kerjaan tempatan itu sendiri jelas menunjukkan bahawa perlantikan orang luar sebagai Ahli Majlis amat bercanggah dengan kebiasaan bahawa sesebuah kerajaan tempatan dianggotai oleh ahli-ahli masyarakat tempatan itu sendiri untuk mengurus daerah tersebut.
Mengikut senarai yang dikeluarkan oleh Kerajaan Selangor, hampir 35 peratus ahli yang dilantik adalah dari luar kawasan. Pemilihan yang sebegini menutup peluang anak tempatan yang berkelayakan untuk berkhidmat kepada masyarakatnya.
Pada masa yang sama, tokoh-tokoh tempatan yang bertungkus lumus membantu pihak kerajaan ini untuk berkuasa melalui pilihanraya umum yang lalu seperti tidak dihargai dan dipandang sepi.
Melalui senarai yang dikeluarkan, jelas sekali pihak kerajaan tidak menunaikan gembar gembur untuk memilih kalangan yang berkelayakan atau berpendidikan sekurang-kurangnya SPM atau Diploma. Dalam kategori NGO dan professional pihak kerajaan negeri mengambil jalan menghina anak Kuala Selangor, seolah-olah tidak ada yang berkelayakan professional manakala dalam pemilihan NGO wakil yang dipilih tidak mempunyai kedudukan dalam NGO yang jelas. Terdapat seorang calon yang mempunyai kepentingan perniagaan keluarga di Majlis Daerah Kuala Selangor.
Perlantikan ini juga menunjukkan berlaku manipulasi dalam pemilihan dimana senarai calon NGO diisi oleh ahli parti-parti tertentu yang dibawa dari luar. Setelah dihalusi terdapat pula ahli-ahli ini mempunyai hubungkait persaudaraan dengan seorang ahli Yang Berhormat. Unsur kronisma tetap ada.
Sebagai satu catatan, Majlis Daerah Kuala Selangor telah tidak diurus dengan baik sejak sekian lama. Pelbagai aspek penambah baik perlu diberi perhatian.
Bagaimana mereka yang tidak dikenali ini malah tinggal berpuluh batu/kilometer dari daerah ini dapat berkhidmat dengan berkesan?
Badan Bertindak Rakyat Prihatin (BBRP) mendesak supaya calon-calon luar ini menarik diri dan menghormati hasrat penduduk tempatan. Fenomena ini juga berlaku dibeberapa PBT lain di Selangor.
Akhirnya, BBRP Kuala Selangor mendesak supaya Pilihanraya Kerajaan Tempatan di hidupkan semula!
Friday, July 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment